Monday 3 August 2015

Dari Meja Pengerusi MPKSM Melaka

Ybhg. Datuk Hj. Hamzah Bin Hj. Bajuri
DMSM, DSM, BKT, BKC, AMN, PPN, PJK, PBM, JP.
PENGERUSI
MAJLIS PUSAT KEBAJIKAN SEMALAYSIA
NEGERI MELAKA

Assalamualaikum wrt...

Alhamdulillah syukur saya panjatkan doa kepada Allah swt kerana dengan limpah kurnia-Nya, MPKSM Negeri Melaka dapat membangun selaras dengan wawasan 2020. Saya berharap, agar semua komitmen yang telah diberikan kepada skop kebajikan akan dapat membantu meningkatkan status negara ke arah negara maju.

Untuk pengetahuan semua, MPKSM berperanan luas dalam aspek kebajikan, yang mana melibatkan tanggungjawab kepada golongan warga emas yang memerlukan tempat perlindungan, maka MPKSM adalah pertubuhan sukarela (NGO) kebajikan yang diberi peranan dalam membantu kumpulan sasar ini. Rumah-rumah ini dikenali sebagai Rumah Sejahtera dan adalah dibawah pentadbiran dan pengurusan cawangan-cawangan MPKSM daerah berkaitan. Di Melaka, terdapat 3 buah rumah sejahtera, iaitu Rumah Sejahtera Bukit Baru, Rumah Sejahtera Lendu dan Rumah Sejahtera Machap Baru (Alor Gajah).

MPKSM Negeri Melaka juga mempunyai dua buah Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) iaitu PAWE Bukit Baru - Melaka Tengah dan PAWE Lesong Batu - Alor Gajah yang menjalankan pelbagai aktiviti harian.

Sebuah van Unit Pengangkutan Warga Emas (UPWE) dikendalikan oleh MPKSM Negeri Melaka. Kenderaan ini banyak memberi perkhidmatan kepada warga emas seperti menghantar warga emas ke Hospital Besar atau klinik kesihatan untuk rawatan/temujanji/pemeriksaan kesihatan dan aktiviti rasmi RSBB dan PAWE Bukit Baru. Van ini juga memberi perkhidmatan kepada klien JKM.

Kini, dengan kejayaan dan prestasi dari MPKSM, JKMM telah memberi amanah baru iaitu Program Khidmat Bantu Di Rumah (KBDR - Home Help Services) yang kumpulan sasar adalah warga emas dan OKU. MPKSM cawangan Negeri Melaka telah lebih setahun menjalankan perkhidmatan dibawah program ini dan hasil penilaian adalah sangat baik dan cemerlang. Penyelaras-penyelaras dan sukarelawan terbukti dapat menjalankan khidmat bakti mereka menolong klien-klien dibawah jagaan mereka.

Akhir kata, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia di atas kepercayaan dan peruntukkan yang telah disalurkan. Saya juga bagi pihak seluruh jawatankuasa MPKSM cawangan Negeri Melaka merakamkan terima kasih kepada  Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri Melaka dan kakitangan dan juga PKMD yang telah memberi kerjasama yang jitu di dalam perkongsian perkhidmatan yang berpanjangan demi warga emas dan OKU Negeri Melaka.

Begitu juga dengan galakan dan sokongan dari kerajaan negeri, dan MPKSM Pusat yang sentiasa bekerjasama dengan MPKSM Negeri Melaka.

Sekian, terima kasih,

No comments:

Post a Comment