Monday 3 August 2015

Permata Yang Dilupakan




Ketika membuat lawatan ke rumah Klien Melaka Tengah

Di kelapangan kerja, setiausaha kerja MPKSM Melaka ingin turut serta dalam lawatan kerumah klien daerah Melaka Tengah, di Taman Seri Duyung. Unit KBDR membawa beliau ke rumah klien yang terlantar sakit dan tiada upaya untuk menguruskan diri sendiri. Walaubagaimanapun, klien ini beruntung kerana masih mempunyai seorang isteri yang sangat bertanggungjawab dan seorang yang sangat pengasih. Ketika kami tiba dirumahnya, kami dapati beliau sedang menyuapkan makanan kepada suaminya yang ketika itu suaminya telah di dudukan diatas sebuah kerusi roda, sumbangan Pejabat Kebajikan Daerah Melaka Tengah.

Untuk pengetahuan pembaca, klien ini berketurunan mamak, dan isterinya, Pn. Rokiah fasih untuk berbahasa Tamil. Klien ini pada waktu sebelum mengalami masalah kesihatan, beliau bekerja sebagai seorang juru elektrik, dan selalu mengambil upah pendawaian di kediaman-kediaman orang awam di sekitar Melaka. Namun, beberapa tahun sudah, beliau mengalami kemalangan serius. Beliau di langgar oleh sebuah motorsikal dan penunggang motorsikal yang melanggar beliau itu maut dalam kejadian tersebut. Selepas kejadian tersebut, klien ini masih boleh bercakap dengan baik dan makan minum dengan sendiri. Namun, lama-kelamaan tahap kesihatan klien ini semakin kronik sehingga hari ini.Klien ini tidak dapat menguruskan dirinya sendiri, malahan gagal untuk berinteraksi dengan orang lain. Besar kemungkinan ianya berpunca daripada masalah otak dan saraf sehinggan membantutkan deria-deria asas. Matanya juga tidak boleh berkelip dan hanya terbuka luas.

Klien ini kini tinggal berdua di sebuah rumah taman yang disewanya RM350 sebulan. Manakala pendapat bulanannya hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka dan juga Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dengan jumlah keseluruhannya RM250 sebulan dan RM200 untuk makanan sahaja daripada MAIM. Sedangkan, sewa rumahnya sahaja telah melebihi jumlah pendapatan bulanannya. Berdasarkan cerita oleh Pn. Rokiah, dia hanya mengharapkan ihsan daripada saudara mara yang datang melawat dan menjenguk keadaanya, untuk memberi sedikit wang tambahan untuk dia mencukupkan jumlah bayaran sewa rumahnya. Selain bayaran sewa rumah, suaminya pula sangat memerlukan lampin pakai buang, dan sudah pasti ianya sangat memberi impak kepada perbelanjaan tersebut.

Dugaan yang diterima oleh pasangan suami isteri ini tidak hanya di situ, tetapi ada yang lebih perit untuk ditanggung. Walaubagaimanapun, pihak kami tidak dapat untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan perkara ini, oleh kerana Pn. Rokiah agak keberatan untuk berkongsi berkenaan masalah ini, barangkali pada pemerhatian kami beliau kecewa dan juga tidak mahu mengaibkan keluarganya. Beliau mempunyai tiga orang anak, dua perempuan dan seorang lelaki. Menurut Pn. Rokiah, anak mereka ini semuanya telah berumah tangga, dan mempunyai kehidupan masing-masing. Namun, setelah suaminya terlantar sejak terlibat dengan kemalangan tersebut, anak-anak mereka terus menghilangkan diri tanpa khabar berita. Hati ibu mana yang tidak sedih dan kecewa dengan perlakuan anak-anaknya bergitu. Usah mengharapkan bantuan kewangan, bertanya khabar juga tiada untuk dirinya yang bergelar ibu.

Pada hari raya yang ke 9, tahun 2015, pihak kami membuat lawatan hari raya ke rumah beliau. Selanjutnya, pihak kami cuba bertanyakan kepada beliau adakah anak-anaknya telah balik ke rumahnya. Tetapi wajah sayu Pn. Rokiah menjawab soalan kami, dan kata beliau, tempat tinggal anak-anaknya juga tidak diketaui. Alangkah malangnya nasib si anak, kerana hanya mementingkan nafsu dan kebencian. Sedangkan pintu syurganya masih wujud didunia ini. Hanya itu yang kami dapat dengar daripada Pn. Rokiah. 

Untuk pedoman para pembaca sekalian, barangsiapa yang masih mempunyai ibu dan ayah, walau apa sekalipun keadaaan mereka, sayangilah mereka. Peluklah jasad mereka selagi mereka bernyawa, dan mereka masih dapat menatap wajah diri kita. Usah wujudkan perasaan benci, dendam kesumat atau seumpanya untuk menjauhkan diri kita daripada syurga.

Sesuai dengan sabda Rasulullah saw yang bermaksud;

"Redha Allah bergantung kepada redha kedua ibu bapa"

Berbaktilah selagi masih ada peluang. 

Sekian(by:IshakJaiton)

No comments:

Post a Comment